Kamis, 11 November 2010

ekonomi dunia

Posted by enji 19.40, under | No comments

Persidangan PBB Mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD) telah mengeluarkan Laporan Situasi dan Prospek Ekonomi Dunia Tahun 2010 di Geneva semalam. Menurut laporan tersebut, ekonomi dunia akan pulih secara perlahan-lahan, dan mencatat pertumbuhan pada kadar 2.4% pada tahun 2010. Namun, ia tetap berkemungkinan untuk terjerumus ke dalam kancah kemelesetan sekali lagi. Ketua Pengarah Jabatan PBB Bagi Ekonomi dan Hal Ehwal Sosial (UNDESA), Heiner Flassbeck, dalam sidang akhbar semalam menyatakan bahawa sasaran pertumbuhan pada kadar 2.4% itu boleh dicapai sekiranya dasar rangsangan ekonomi yang berkenaan dapat terus dilaksanakan sepenuhnya di seluruh dunia.
Laporan tersebut menunjukkan bahawa, selepas mengalami krisis kewangan yang paling teruk sejak era Perang Dunia ke-2 itu, ekonomi dunia telah menunjukkan tanda-tanda positif untuk pulih pada suku tahun kedua tahun 2009. Bagaimanapun, kadar pertumbuhan jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) seluruh dunia pada tahun itu hanya mencatat angka negatif 2.2% sahaja. Laporan itu menganggap pelan rangsangan ekonomi yang mula dilaksanakan oleh pelbagai negara pada penghujung tahun 2008 itu, sebagai penyumbang utama kepada pemulihan ekonomi dunia. Negara-negara membangun diyakini akan menjadi penggerak utama kepada pertumbuhan ekonomi dunia pada tahun 2010. Laporan tersebut juga meramalkan bahawa China dan India akan berkembang menjadi dua negara yang pertumbuhan ekonominya paling pesat di dunia pada tahun 2010, dengan kadar pertumbuhan ekonomi masing-masing dijangka mencatat angka 8.8% dan 6.5%. Sementera itu, ekonomi di pelbagai entiti ekonomi maju juga akan menyaksikan pertumbuhan yang menyeluruh pada tahun 2010 ini. Namun, kadar pertumbuhannya tidaklah begitu tinggi, dengan A.S. mencatat kadar 2.1%, Kesatuan Eropah (EU), 0.6%, dan Jepun, 0.9%.
Mengenai sumbangan China kepada pemulihan ekonomi dunia, Heiner Flassbeck menyatakan bahawa, peningkatan nilai keseluruhan import China dengan jumlah yang begitu besar, sesungguhnya telah memberikan sumbangan yang amat besar kepada usaha untuk menyelesaikan masalah ketidakseimbangan ekonomi dunia. Menurut beliau, walaupun sumbangan perbelanjaan awam China kepada KDNKnya masih agak kecil, namun, kadar pertumbuhan perbelanjaan awamnya telah kekal pada kadar kira-kira 8% selama 10 tahun berturut-turut. Hal ini tidak pernah berlaku di negara-negara yang lain.
Laporan ini juga menunjukkan bahawa, oleh sebab kadar pengangguran di seluruh dunia masih sangat tinggi, dan keperluan perbelanjaan tetap sangat rendah pada masa ini, maka, jika pakej rangsangan ekonomi yang berkenaan diberhentikan terlalu awal, dan nilai dolar Amerika terus menyusut, ekonomi dunia mungkin akan sekali lagi menghadapi kemelesetan.
Untuk mengelakkan ekonomi dunia daripada meleset semula supaya matlamat pembangunan yang berterusan dapat direalisasikan dengan secepat mungkin, laporan ini telah mengemukakan beberapa cadangan tindakan yang bersifat membina: Pertama, terus meningkatkan permintaan dalaman untuk menggantikan pelaksanaan pelan rangsangan ekonomi yang berkenaan secara berperingkat-peringkat; Kedua, meningkatkan lagi pelaburan dalam industri yang boleh dibangunkan secara berterusan, terutamanya industri inovasi yang dimanfaatkan untuk menangani masalah perubahan iklim; Dan, ketiga, menyelaraskan dasar ekonomi makro antarabangsa, dan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk memperbaiki keadaan ekonomi dunia yang tidak seimbang.

Diberdayakan oleh Blogger.

Tags

asmaul husna

musiq kuh

Blog Archive

cuap


ShoutMix chat widget